
Kerajaan Jerman berkata bahawa kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat dijangka tidak akan memberi kesan negatif ke atas pertumbuhan ekonomi Jerman.
Undian Britain yang tidak dijangka untuk meninggalkan Kesatuan Eropah dan pilihan raya presiden di Amerika Syarikat telah mewujudkan ketidaktentuan di pasaran. "Walau bagaimanapun, ia tidak memberi kesan yang negatif untuk jangka pendek," kata Kementerian Ekonomi.
Eksport Jerman masih memainkan peranan yang penting di pasaran dunia, walaupun ekonomi global mengalami masa sukar. Sementara itu, keadaan pasaran dilihat semakin bertambah baik. Pengeluaran industri global telah mencatatkan pertumbuhan semasa musim panas, terutama di negara-negara maju, kata kementerian itu dalam laporannya.
Pejabat Statistik Persekutuan bakal mengeluarkan laporan awal KDNK suku ketiga pada 15 November. Ahli ekonomi menjangkakan kadar pertumbuhan suku tahunan sebanyak 0.3% berikutan peningkatan 0.4% pada suku tahun sebelumnya. Kementerian Ekonomi menjangka peningkatan ekonomi keseluruhan di Jerman pada suku ketiga.